Tuesday, 7 August 2012

Kolar putih yang hitam




Jenayah kolar putih

Air mata jantan akhirya gugur jua menemu bumi, bukanlah kerana sedih berputus cinta atau berpergian jauh, tetapi pilu dengan realiti dunia kini. Sekali lagi idea pengarah Indonesia Deddy Mizwar meninggal jauh filem-filem tanah melayu yang masih terperangkap di kelas ketiga( third-class trap). Cerita umpama Hantu Kak Limah, Anak Mami, Ombak Rindu dan Petala Cinta terus berlegar dan bermain is-isu remeh yang hanya dijadikan tontonan santai(minta maaf FINAS, bukan mengutuk,tapi memberi pendapat). Filem ‘Alangkah Lucunya Negeri Ini’ bergenre komedi, namun jelas niat pengarah mengetengah isu sosial yang menjadi kelaziman( social-issue) iaitu persoalan jenayah kolar putih(white collar crime). Filem ini membuka mata kesedaran ramai pihak khususnya mereka yang mampu mengunyah makanan mewah dan mereka yang berhias emas. Dosa mencuri itu sangat jijik dan bersangat besarlah dosanya di sisi masyarakat. Kalau tertangkap,dihenyak,dipukul, diterajang sebenci mampu. Katanya inilah sampah masyarakat. Namun pihak2 berpangkat tinggi yang mengaut dan memunggah serta meratah harta rakyat jelata terus dipuji sepuji hati, dek hanya kerana dengan 0.80 sen subsidi minyak. Katanya  merekalah hero nasional,yang berusaha sedaya mampu mengurangkan beban rakyat. Kalau ada yang cuba mempertikai, terus akan ditutup mulut dengan cara yang selayak bagi puak-puak Fir’aunisme ini.

Pemimpin woi!!

“Politicians think for the next election, statesman thinks for the next generation.”

Pepatah ini pada perkiraan saya amatlah sesuai mengisahkan realiti kini. Rata-rata pemimpin (bukan semua) hanya memandang pilihan raya itu matlamat teragung dalam karier professionnya. Sudah tidak endah manifesto yang dulunya menjadi zikir itu tercapai atau tidak. Rakyat proletariat yang terus sengsara hanya dipandang sebagai mayat hidup. Bukannya suara si miskin itu mampu menumbangkannya. Siapalah yang mahu dengar. Demikianlah zalimnya dunia dari dimensi ini. Mulut yang busuk berbau rasuah dan korupsi itu,adalah mulut yang sama melaungkan slogan” bantu rakyat”. Tangan yang hanyir menyembelih rakyat miskin di pedalaman itu,adalah tangan yang sama menghulur RM20 tatkala menjelang ‘harinya’. Tetapi ingat,sejarah melukis formulanya, penguasa yang merobek jelata takkan lama bertakhta. Formula ini terhasil daripada ritma kejatuhan Sultan Abdülhamid II di Turkey yang rakus bermewahan dengan harta rakyat. Hal yang sama juga telah membangkit ‘Arab Spring’ ,yang menggulingkan kerajaan totalitarianism dan diktator Husni Mubarak di Mesir. Sebelum itu, revolusi menjatuhkan Ben Ali di Tunisia, diikuti Muammar Gaddafi di Libya. Sekarang ini rancak berlaku di Syria menentang Hitler Arab, Bassyar Al-Asad. Awalnya,semua pemimpin ini berdosa di atas satu jenayah, iaitu jenayah kolar putih. Uniknya, jenayah ini tidak bisa dibicara di mahkamah. Kalau adapun yang disabit kesalahan, maka hukuman hanya sekadar mencukup syarat bahawa pesalah sudah kena tindakan. Dahulu kita dikejutkan sedikit dengan berita Imam Hoslan Hussain dijatuhkan hukum penjara setahun gara-gara membaling selipar ke arah panel hakim. Hukuman yang sama dikenakan kepada seorang menteri besar yang sabit kesalahan rasuah dalam pembelian rumah bernilai RM 3.5 juta. Masing masing dihukum setahun penjara. Sungguh jelas jenayah yang dilakukan mereka berdua tidak banyak beza(sinis). Sebelum itu, seorang lelaki berstatus penganggur yang mencuri botol Shampoo dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara. Berat sungguh jenayah penganggur ini mencuri....padan muka(sinis).

Tersilap sangka

Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah

Saya sebagai rakyat Malaysia amat berterima kasih kepada Tun Mahathir atas tindakan bijaknya menggubal Perlembagaan pada 1993 berhubung kekebalan Raja Raja Melayu. Sekurangnya tiadalah golongan pembela ketuanan Melayu ini terus menjadi ‘maksum’.  Takut takut menyala api marah seperti yang terjadi di Tunisia ketika mana pihak berkuasa terlalu kebal. Siapa sangka Mohamed Bouazizi, si penjual sayur jalanan mampu meruntuhkan sebuah kerajaan dengan mengangkat isu jenayah kolar putih menjadii isu eksplosif. Rakyat yang terkesan dengan tindakan Mohamed Bouazizi itu, turun ke medan yang sama menentang rejim Ben Ali. Akhirnya, revolusi ini berubah dari sebuah demonstrasi menjadi sebuah insureksi nasional. Tentera-tentera pengampu Ben Ali tidak mampu menahan keampuhan tentera golongan proletariat. Rakyat sudah bersama, penjenayah masih turun kata rakyat.

Pengajaran

“Kalian merasa tergangggu dengan ulah para pengemis dan pencopet(penyeluk sak) tapi kalian tidak terganggu dengan ulah para koruptor!?! Seharunya kalian tangkap para koruptor yang sudah memiskinkan negeri ini! Memiskinkan kalian! Memang itu bukan tugas kalian, tapi setidaknya kalian punya rasa belas kasihan! Mereka hanya mencari rezeki yang halal! Biarkan mereka yang miskin mencari rezeki yang halal !! ”

Bait ini merupakan dialog Muluk,watak utama filem ini ketika berhadapan pihak polis. Dia mengkritik golongan-golongan yang sudah dikaburkan oleh koruptor. Seakan mereka telah didoktrinkan bahawa  jenayah itu ialah kesalahan yang berselisih dengan undang undang yang dilakukan oleh rakyat marhaen , bukan golongan atasan. Golongan atasan diberi keistimewaan(privilege) untuk terlepas dari undang undang. Kerana itu, sekumpulan budak yang menjadi pencopet atau penyeluk saku dalam cerita ini melaungkan ‘Hidup koruptor”. Bagi mereka mencuri itu salah dan akan ditangkap, tetapi makan duit rakyat itu betul dan terlepas dari apa apa tindakan. Kata pepatah,” jerung kenyang dilepas, bilis lapar ditekan dan ditangkap”. Penamatnya, pengarah mengutarakan persoalan, benarkah lucu negeri ini?
Fakir miskin dan anak-anak terlantar diperlihara oleh negara
(Pasal 34 ayat (I) UUD Republik Indonesia1945)
-1 Ogos 2012-

1 comment: