Thursday, 7 June 2012

Tulang Rusukku...!!



Perempuan berkalung sorban

Menghabiskan 2 jam menonton filem yang memenangi tujuh nominasi Festival Film Bandung 2009 membuatkan aku tersenyum sinis. Filem ini mendapat bantahan beberapa kiyai di Indonesia dan menggesa agar ia diboikot. Namun ketahuilah, memboikot tidak mampu menghalang idea dan minda pengarah, Hanung Bramantyo dalam filem tersebut. Bahkan mungkin ia akan mengakibatkan berlakunya ketegangan yang tidak sihat antara dua ideologi paradoks, Kaum Salafiyyah yang konservatif tradisi dan juga golongan minoriti liberal yang memandang isu dan budaya setempat dari sisi pandang yang berbeza. Pertembungan inilah yang menjadi filem ini mampu meraihkan nominasi yang banyak sekaligus memaparkan kritikan golongan pragmitif.

Sungguh, saya tidak menafikan terlalu banyak perkara yang boleh dibincangkan menerusi filem ini. Baik dari sudut hukum dan idea. Sebahagian memandang filem ini memperlekehkan golongan Kiyai atau agamawan dengan kritikan yang pedas. Tetapi saya berpandangan peribadi, idea yang dipaparkan tidak menghina Islam mahupun muslim. Ia tidak lebih dari mempersembahkan kritikan sosial (social-critic). Dialog-diolag dalam filem ini seperti ‘Syurga wanita ditapak kaki suami’, ‘Islam tidak adil terhadap perempuan’ ,”malaikat melaknat isteri” ,itu natijah terhadap sebuah pendidikan yang sempit(narrow view) ataupun jumud(captive view). Anissa, watak antagonis yang menghidupkan filem dengan mempersoalkan isu kewanitaan yang disangkanya  Islam men-double standard-kan gender. Kelihatan, Syed Syeikh Al Hadi telah lama sedar akan kebejatan emansipasi wanita yang berleluasa di bumi nusantara menerusi novel terkenalnya,”Hikayat Faridah Hanom”(1925). Menampilkan tema percintaan yang terhalang kerana adat. Kemudian tokoh seni Melayu, P. Ramlee turut senada dalam perjuangan yang serupa melalui filem,” Penarik Beca”.

Feminisme dan skeptisme

Isu feminism menjadi hangat kebelakangan ini, lebih2 lagi setelah kemunculan Irsyad Manji, tokoh liberal wanita yang mempersoalkan sedikit sebanyak isu ini. Dahulu lagi, SIS telah terkehadapan mengarah perbincangan soal kewanitaan.yang ditubuhkan secra rasmi tahun 1993.Sejarahnya, sekumpulan peguam, aktivis, ahli akademik dan wartawan wanita bersama-sama menubuhkan satu pergerakan untuk menyelesaikan masalah wanita Islam pada 1988. Antara mereka ialah Zainah Anwar dan juga Marina Mahathir.Tumpuannya adalah untuk mencabar undang-undang dan dasar atas nama Islam yang mendiskriminasikan wanita. Tumpuan SIS kemudiannya diperluaskan kepada isu lebih besar umpamanya hak asasi, perlembagaan dan demokrasi.

Dalam filem tersebut,SIS sekali lagi muncul sebagai hero apabila mampu memberi ruang kepada golongan wanita yang ditindas yang awalnya  tidak mampu “ dipertahankan” golongan agama yang hanya menghafal dalil dan nas seraya menyeru bersabar kerana isteri yang bersabar itu disayangi Tuhan. Lantas, golongan yang ditindas ini akan memandang agama tidak lagi beperanan sebagai sebuah institusi penyelamat. Maka terbentuklah minda skeptism golongan tertindas. Maka ramai pula golongan kiyai mahupun ustaz berapi menyalahkan SIS kerana memperlekehkan hukum Islam tanpa mereka mencermin diri sendiri sebagai penyampai agama sepertimana Muslimat PAS pernah mencadang pengharaman pertubuhan songsang itu.Malah lebih parah,pada 31 julai 2008, Menteri Dalam Negeri telah bertindak secara mengharamkan buku keluaran SIS iaitu “ Muslim Women and The Challenge of Islamic Extrimist”.

Perjuangan yang sukar

Memperjuangkan hak-hak kewanitaan bukanlah seperti memperjuangkan hak melayu umpamanya. Biarpun perjuangan hak melayu itu pasti bertemu penghalang atau ramai yang mengata di belakang,tetapi sekurang-kurang hak melayu itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Perkara 153. Namun hak kewanitaan tidak begitu.Oleh itu kita mampu meneliti sejarah gender Hawa ini ditindas di tengah2 padang arab, diperkosa hak wanita sewenang. Bayi perempuan yang lahir di tanam hidup hanya dek malu. Al Quran menegur perbuatan jelek itu:

بأي ذنبٍ قتلت
(atas dosa apakah mereka dibunuh?)

Dalam masyarakat arab jahiliah, jika suami mati meninggalkan janda. Maka janda boleh diwarisi anak lelaki dan perbuatan keji tersebut tidak dibantah. Pada adat Parsi, dianggap satu kemuliaan anak perempuan mengahwini bapa kandung. Perbuatan yang dianggap sumbang mahram hari ini pernah menjadi budaya. Dalam hal lain, masyarakat Athens mengamalkan budaya membunuh isteri jika suami sabit kesalahan membunuh orang. Wanita dijadikan alat penebus dosa. Sati pula terkenal di kalangan masyarakat Hindu atau dalam masyarakat Jawa dikenali degan istilah Pati Obong. Apabila suami mati, isteri perlu dibakar sekali bersama mayat suami. Hindu patut berterima kasih terhadap penjajah Inggeris yang datang menjajah bumi India dan menghapuskan adat buruk itu. Sebelum kedatangan Islam, demikianlah kondisi wanita yang dikelaskan sebagai second-class. Nabi Muhammad melaungkan seruan pembebasan di tengah-tengah tsunami kezaliman yang menganggap wanita umpama sial dan petaka. Islam satu ketika menjadi perisai pembela hak2 wanita. Agama bertindak sebagai penyelesai kepada masalah masyarakat. Islam yang sebeginilah yang didambakan Anissa dalam filem tersebut.

Tajdidlah

cis, belajar jauh2, balik mengajarku istigfar.Aku lebih tahu istigfar daripada kau

Petikan dialog ini apabila Khudori,suami kedua Anissa menasihati Anissa bersabar atas ujian. Jawapan dan luahan mangsa kezaliman yang cukup menusuk hati. Islam sudah pasti bukan berhenti pada kalimah sabar. Adakah hanya nasihat seperti ini yang dianjurkan Islam tanpa bergerak(mobilasi) menentang mungkar. Adakah tiada dalil menentang kezaliman? Seorang isteri datang mengadu kepada pegawai agama dek kedayusan suaminya lalu disuruhnya bersabar. Tetapi kalau bab tangkap khalwat, institusi agamalah yang berada di hadapan sekali dalam operasi penangkapan, biarpun perbuatan mungkar tersebut belum dipastikan lagi.
Isu-isu masyarakat sebegini harus ditangani dengan keluasan kefahaman golongan berkuasa dan jangan bersikap lewa. Tidak hanya duduk di bilik ber air-cond, menanti aduan dan memberi sepatah dua nasihat kemudian mendabik dada berbangga kononnya diri sudah berbakti terhadap agama. Fiqh-fiqh yang melibatkan kewanitaan juga perlu dipandang pada kondisi(context) masyarakat marhaen agar fiqh-fiqh mejadikan diri orang beragama bukan terbeban. Formulanya senang:

Jumud membunuh kebebasan

Masalah jumud berlaku di beberapa Negara Teluk yang kuat salafiah dan juga negara-negara Indo-Pakistan dan Nusantara yang kuat aliran konservatif traditionalis. Walaupun antara manhaj salafi dan fanatik traditonalis mazhab itu berbeza dalam banyak persoalan, namun mereka kadang-kadang sama-sama menyempitkan fikiran agama mengenai kehidupan dan wanita dalam banyak hal. Skeptism yang meluas terhadap islam terhasil daripada jumudnya sebahagian golongan agama. Mereka kecewa dengan agama yang dianuti, sehinggakan Kristian dan SIS dipandang lebih relevan pada kaca mata mereka.Hal inilah yang dikritik sinis oleh tokoh komunism, Karl Marx (1818-1883):

“Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions”


Akhirnya, saya menutup cernaan minda kali ini dengan petikan daripada novel agung Syed Syeikh Al Hadi:

Bermula, menyekat akan perempuan daripada pelajaran itu suatu dosa yang maha besar di atas kaum dan bangsa dan negeri yang akan diperiksa kelak oleh Tuhan dihadapan-Nya di padang mahsyar dan dibalasi-Nya dengan penjara neraka jahanam bagaimana laki-laki itu penjara sekalian perempuan-perempuan di dalam api dapurnya sahaja di dunia ini”. (Hikayat Faridah Hanum, 1985: 136)

-5 Jun 2012-