Tuesday, 3 July 2012

Zaman ini menuntut reform...!!


Reform

Islam datang sebagai rahmatal lil a’lamiin. Biarpun begitu pihak yang tergugat periuk nasi mereka di rumah atau tergugat jawatan besar ketika itu tidak memandang dengan perspektif sebegitu. Bahkan mereka menyifatkan Islam agama rekaan yang cuba melawan arus masyarakat ketika itu. Tercetuslah budaya ‘melabel’ terhadap lelaki pembawa ajaran baru ini dengan labelan seperti ‘lelaki pembohong’ dan 'ahli sihir'. Demikianlah lumrah penentang arus. Tatkala hujah tidak mampu dibalas hujah. Maka kuasa dan penghinaan menjadi penyudah terakhir.

Sejarah mengukir petanya bahawa sebuah tamadun yang rakus dan zalim tidak mampu dijatuhkan melainkan terpaksa dibayar dengan mahar perjuangan yang perit dan pedih. Demikianlah yang dilalui oleh mereka dilabelkan sebagai reformist, pembaharu dan progressive leader oleh golongan yang tidak bersehaluan.  Di tanah melayu, kita menyaksikan siri perjuangan di tangan sosok besar bangsa kita seperti Syed Syeikh Al Hadi (pada 1867-1934), Zaa’ba (pada 1895-1973), Abu Bakar Asy’ari, Ibrahim al ‘Aqidi dan Syeikh Muhammad Tahir Jamalluddin (pada 1869-1956). Sebahagian mereka dihukum salah dan dilabel sebagai golongan ‘wahabi’ , hanya kerana berpandangan berbeza daripada majoriti.Perjuangan merubah stigma masyarakat yang dogmatik terhadap budaya dan kefahaman Islam yang jumud ini, selalunya akan berkonfrontasi dengan golongan ‘lama’ yang masih teguh pada idea lama yang tidak bersifat waqie( reality). Di negara jiran kita pula, munculnya di tengah tengah Kampung Kuaman Yogjakarta sebuah pergerakan yang dikenali sebagai Muhammadiah pada tahun 1912. Minda perjuangan Kiyai Dahlan ini tidak banyak berbeza dengan tokoh tanah melayu yang dinyatakan tadi, iaitu berkisar tentang pemansuhan warisan peradaban lama yang masih ortodoks. Kisah agung perjuangan Kiyai Dahlan difilemkan dalam filem arahan Hanung Bramantyo, Sang Pencerah . Seperti lumrahnya, Komiti Seleksi Festival Filem Indonesia (FFI) 2010 tidak meluluskan filem sinikal ini bertanding. Barangkali ada arahan pihak tertentu atau sebuah konspirasi yang masih misteri . Haih, malulah dengan Academy Awards wahai FFI!!!

Martin Luther

Dalam perbincangan tentang reformasi, tidak terlepas dari menyebut seorang tokoh paderi Jerman, Martin Luther ( pada 1438-1546) yang mengasaskan Gereja Lutheran dan Protestan.Pada Oktober 1517 Luther menulis 95 Tesis, mencabar fundamental utama Gereja Barat iaitu penghapuskan dosa (indulgences) dan kuasa Paul. Lantaran tindakannya yang dianggap radikal dan songsang, Paus menghukum pendapatnya sebagai terpesong dan sesat(heresy) dan mengeluarkannya dari jemaah Katolik dengan akta Exsurge Domine pada 15 Jun 1520. Luther juga diistiharkan sebagai buangan oleh Diet. Sejarah perjuangan Martin Luther yang difilemkan oleh pengarah filem British , Eric Till yang berjudul ‘Luther’. Seruan reform Martin Luther telah disambut rakyat, hinggakan berpuluh puluh ribu rakyat menjadi korban. Namun demikianlah sunnah perjuangan, tatkala rakyat sudah bersama suara perubahan, pihak berkuasa tidak mampu berbuat apa-apa. Kesedaran terhadap pincangnya golongan gereja yang kononnya berbicara atas nama Christ atau agama Kristian ini sudah lama sebenarnya dikesan oleh sebahagian penganutnya. Tetapi tiada yang ingin mengangkat rasa tidak puas hati itu menjadi tema perjuangan hinggalah munculnya paderi muda yang mula-mula melaungkan ‘azan’ reformasi.

Martin Luther Melayu

Balik-balik barat, balik-balik barat. Takkan tiada tokoh kita. Sebenarnya ada,cuma sejarahnya tidaklah sebesar Martin Luther. Tanah keramat ini menyaksikan lantangan suara pembaharuan yang menembusi kepekatan  salah guna kuasa golongan agama yang konservatif lagi ortodoks dan politik diktator. Demikianlah realiti yang dihadapi Syed Syeikh Al Hadi. Dalam kebanyakan siri perjuangan, akan ditentang dua golongan, iaitu agamawan dan politikus. Hal yang sama berlaku pada Martin Luther dan sebelum itu dihadapi oleh Nabi Musa ketika menetang Fir’aun dan Hamman. Golongan agama yang membaca nas demi mengukuhkan golongan penguasa dan golongan kuasa pula memberi kedudukan terpuji lagi terpelihara kepada agamawan. Hal ini disentuh oleh Jamaluddin Afghani,tokoh reformis Afghanistan dengan kata2 nya :

 أأنتم تسبحون بحمد الله أم أنت تسبحون بحمد الملوك والاستعمار

(adakah kalian memuji dengan pujian Allah atau memuji dengan pujian pemerintah dan kolonist)

 Syed Syeikh al Hadi yang terkesan dengan dakyah pemikir reformis Mesir, Muhammad Abduh dalam fatrah Arab Awekening, memanjangkan dakyah di bumi sendiri. Beliau mengkritik golongan raja-raja melayu dalam satu kata2nya yang terkenal, “semua bala datang kepada orang melayu datang dari raja-raja melayu, yang hanya tahu bermewah mewah tanpa memikirkan masalah rakyat”. Bukan sekadar Syed Syeikh al Hadi yang menghentam raja melayu, bahkan Buya Hamka juga turut melontar kritikan menerusi bukunya ‘Ayahku’ dan ‘Teguran suci dan jujur kepada Mufti Johor’. Demikian juga menerusi bukunya ‘Dari Peradaban Lama’ menceritakan kejatuhan Kota Melaka dek kerana salah guna kuasa Sultan Melaka. Antara cerita yang masyhur ialah pembunuhan keluarga Tun Ali, hanya kerana keinginan Sultan Melaka kepada Tun Fatimah.Kritikan yang berat itu menjadikan Syed Syeikh Al Hadi sebagai masalah bagi golongan tertentu. Maka sekali lagi budaya”melabel” kembali berperanan dengan melabel beliau dengan gelaran yang hina. Inilah tindakan untuk memanipulasikan rakyat menjadi takut dengan  syed Syeih Al Hadi dan seterusnya memastikan idea reformisnya tidak bersambut. Senjata persepsi digunakan.

Saya tidak berniat melontar komentar yang aggressif lantaran saya sendiri bukanlah orang berjuang. Sudah tentu penceritaan sejarah yang dinukilkan oleh penulis yang duduk di bilik berdingin hawa,di atas meja kayu jati, di bawah simbahan lampu neon, berkalam pula pad kekunci laptop berteknologi tinggi, tidak akan sekali sama dengan sejarah yang di’corak’ oleh mereka yang turun ke medan perjuangan,merasai apa itu kepedihan, apa itu penentangan bahkan kematian. Sejarah itu jiwa. Dari sejarahlah kita mengetahui golongan yang diangkat hero pada zaman lalu, ditulis sebagai pengkhianat oleh sejarah kini.Begitu juga yang dicerca dimaki, hari ini sejarah mengenali dengan gelaran terpuji seperti kisah Imam Ahmad yang dituduh sesat dan Ahmad Abi Duan yang menghalalkan darah Imam Ahmad. Hari ini, dunia mengenali ketokohan Iman Ahmad yang juga pengasas salah satu mazhab terbesar. Daripada sejarah inilah, semangat saya jadi membara. Harus diingat, matlamat perjuangan bukanlah sekadar berapi mengutuk kerajaan atau mengutuk pembangkang.  Tapi kita menyokong ketelusan.

bukanlah aku menyanjung kaum muda, bukan jua membantah kaum lama, tapi aku mencari kaum yang  bicaranya benar,”

“Harus menghidupkan semangat bebas berfikir, bebas dari belenggu feudalisme”-Syed Hussein al-Atas


-29 Jun 2012-