Tuesday, 7 August 2012

Kolar putih yang hitam




Jenayah kolar putih

Air mata jantan akhirya gugur jua menemu bumi, bukanlah kerana sedih berputus cinta atau berpergian jauh, tetapi pilu dengan realiti dunia kini. Sekali lagi idea pengarah Indonesia Deddy Mizwar meninggal jauh filem-filem tanah melayu yang masih terperangkap di kelas ketiga( third-class trap). Cerita umpama Hantu Kak Limah, Anak Mami, Ombak Rindu dan Petala Cinta terus berlegar dan bermain is-isu remeh yang hanya dijadikan tontonan santai(minta maaf FINAS, bukan mengutuk,tapi memberi pendapat). Filem ‘Alangkah Lucunya Negeri Ini’ bergenre komedi, namun jelas niat pengarah mengetengah isu sosial yang menjadi kelaziman( social-issue) iaitu persoalan jenayah kolar putih(white collar crime). Filem ini membuka mata kesedaran ramai pihak khususnya mereka yang mampu mengunyah makanan mewah dan mereka yang berhias emas. Dosa mencuri itu sangat jijik dan bersangat besarlah dosanya di sisi masyarakat. Kalau tertangkap,dihenyak,dipukul, diterajang sebenci mampu. Katanya inilah sampah masyarakat. Namun pihak2 berpangkat tinggi yang mengaut dan memunggah serta meratah harta rakyat jelata terus dipuji sepuji hati, dek hanya kerana dengan 0.80 sen subsidi minyak. Katanya  merekalah hero nasional,yang berusaha sedaya mampu mengurangkan beban rakyat. Kalau ada yang cuba mempertikai, terus akan ditutup mulut dengan cara yang selayak bagi puak-puak Fir’aunisme ini.

Pemimpin woi!!

“Politicians think for the next election, statesman thinks for the next generation.”

Pepatah ini pada perkiraan saya amatlah sesuai mengisahkan realiti kini. Rata-rata pemimpin (bukan semua) hanya memandang pilihan raya itu matlamat teragung dalam karier professionnya. Sudah tidak endah manifesto yang dulunya menjadi zikir itu tercapai atau tidak. Rakyat proletariat yang terus sengsara hanya dipandang sebagai mayat hidup. Bukannya suara si miskin itu mampu menumbangkannya. Siapalah yang mahu dengar. Demikianlah zalimnya dunia dari dimensi ini. Mulut yang busuk berbau rasuah dan korupsi itu,adalah mulut yang sama melaungkan slogan” bantu rakyat”. Tangan yang hanyir menyembelih rakyat miskin di pedalaman itu,adalah tangan yang sama menghulur RM20 tatkala menjelang ‘harinya’. Tetapi ingat,sejarah melukis formulanya, penguasa yang merobek jelata takkan lama bertakhta. Formula ini terhasil daripada ritma kejatuhan Sultan Abdülhamid II di Turkey yang rakus bermewahan dengan harta rakyat. Hal yang sama juga telah membangkit ‘Arab Spring’ ,yang menggulingkan kerajaan totalitarianism dan diktator Husni Mubarak di Mesir. Sebelum itu, revolusi menjatuhkan Ben Ali di Tunisia, diikuti Muammar Gaddafi di Libya. Sekarang ini rancak berlaku di Syria menentang Hitler Arab, Bassyar Al-Asad. Awalnya,semua pemimpin ini berdosa di atas satu jenayah, iaitu jenayah kolar putih. Uniknya, jenayah ini tidak bisa dibicara di mahkamah. Kalau adapun yang disabit kesalahan, maka hukuman hanya sekadar mencukup syarat bahawa pesalah sudah kena tindakan. Dahulu kita dikejutkan sedikit dengan berita Imam Hoslan Hussain dijatuhkan hukum penjara setahun gara-gara membaling selipar ke arah panel hakim. Hukuman yang sama dikenakan kepada seorang menteri besar yang sabit kesalahan rasuah dalam pembelian rumah bernilai RM 3.5 juta. Masing masing dihukum setahun penjara. Sungguh jelas jenayah yang dilakukan mereka berdua tidak banyak beza(sinis). Sebelum itu, seorang lelaki berstatus penganggur yang mencuri botol Shampoo dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara. Berat sungguh jenayah penganggur ini mencuri....padan muka(sinis).

Tersilap sangka

Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah

Saya sebagai rakyat Malaysia amat berterima kasih kepada Tun Mahathir atas tindakan bijaknya menggubal Perlembagaan pada 1993 berhubung kekebalan Raja Raja Melayu. Sekurangnya tiadalah golongan pembela ketuanan Melayu ini terus menjadi ‘maksum’.  Takut takut menyala api marah seperti yang terjadi di Tunisia ketika mana pihak berkuasa terlalu kebal. Siapa sangka Mohamed Bouazizi, si penjual sayur jalanan mampu meruntuhkan sebuah kerajaan dengan mengangkat isu jenayah kolar putih menjadii isu eksplosif. Rakyat yang terkesan dengan tindakan Mohamed Bouazizi itu, turun ke medan yang sama menentang rejim Ben Ali. Akhirnya, revolusi ini berubah dari sebuah demonstrasi menjadi sebuah insureksi nasional. Tentera-tentera pengampu Ben Ali tidak mampu menahan keampuhan tentera golongan proletariat. Rakyat sudah bersama, penjenayah masih turun kata rakyat.

Pengajaran

“Kalian merasa tergangggu dengan ulah para pengemis dan pencopet(penyeluk sak) tapi kalian tidak terganggu dengan ulah para koruptor!?! Seharunya kalian tangkap para koruptor yang sudah memiskinkan negeri ini! Memiskinkan kalian! Memang itu bukan tugas kalian, tapi setidaknya kalian punya rasa belas kasihan! Mereka hanya mencari rezeki yang halal! Biarkan mereka yang miskin mencari rezeki yang halal !! ”

Bait ini merupakan dialog Muluk,watak utama filem ini ketika berhadapan pihak polis. Dia mengkritik golongan-golongan yang sudah dikaburkan oleh koruptor. Seakan mereka telah didoktrinkan bahawa  jenayah itu ialah kesalahan yang berselisih dengan undang undang yang dilakukan oleh rakyat marhaen , bukan golongan atasan. Golongan atasan diberi keistimewaan(privilege) untuk terlepas dari undang undang. Kerana itu, sekumpulan budak yang menjadi pencopet atau penyeluk saku dalam cerita ini melaungkan ‘Hidup koruptor”. Bagi mereka mencuri itu salah dan akan ditangkap, tetapi makan duit rakyat itu betul dan terlepas dari apa apa tindakan. Kata pepatah,” jerung kenyang dilepas, bilis lapar ditekan dan ditangkap”. Penamatnya, pengarah mengutarakan persoalan, benarkah lucu negeri ini?
Fakir miskin dan anak-anak terlantar diperlihara oleh negara
(Pasal 34 ayat (I) UUD Republik Indonesia1945)
-1 Ogos 2012-

Kuasa Bicara


Laungan dan tepikan bergema,
Menggegak buana seluruh baka,
Tanpa senjata.
Tanpa peluru pembunuh jiwa,
Tanpa pedang mata berbisa,
Runtuhkan kezaliman dan kerakusan dengan bicara,
Suara jadi sakti dan aura,
Menguar rasa yang dijajah lama,
Katamu, sudah hampir masa tiba,

Kolar putih kau kritik pedas,
Soalmu, duit siapa engkau kebas,
Agamawan kau balas tutur,
Ugutmu,usah dicatur rencana kotor,
Kepada orang besar yang bersandar,
Lantangmu menitip benar,
Kepada si miskin terlantar,
Pesanmu sabar,dan sabar,

Tatkala nyata membuka mata,
Tatkala sedar menghilang samar,
Tatkala hakikat mematah ralat,
Tatkala rahsia dibongkar segala,
Katamu, sudah tiba masa,
Era kebenaran pula bertakhta.

-2 Julai 2012-

Takutnya dikritik....



Kritik

Sebuah zaman yang bertemu di antara pola fikiran ekstrem aqli (rasionalis) dan ekstem naqli (skripturalis), maka akan terwujud sebuah kelompok yang mengambil jalan tengah, tidak liberal hingga menggadai prinsip, tidak jumud (captive view) hingga tersekat, tetapi menimbal antara kedua aliran. Demikianlah corak yang berlaku dalam pasca-Arab Renaissance Timur Tengah baru-baru ini. Gerakan En-Nahdah pimpinan Rachid Ghannouchi di Tunisia dan Freedom and Justice Party(FJP) di Mesir yang menjadi kumpulan terbesar dalam usaha menggulingkan rejim diktatorial atau totaliter. Selepas jatuhnya rejim-rejim tersebut, maka orang ramai bertempik mengatakan Islam sudah bangkit. Benarkah Islam sudah bangkit? Saya bukan terlalu simplistik atau tidak bersetuju dengan tema’Revolusi Islam’, tetapi saya mempersoalkan golongan yang terlalu taksub dengan gerakan revolusioner hingga memandang revolusi yang dibawa itu revolusi Islam. Kerana akhirnya bagi mereka, golongan revolusioner ini akan mendirikan kerajaan teokrasi atau Daulah Islamiyyah.  Secara tidak langsung, mereka meletakkan syarat, revolusi mestilah mereka yang memperjuangkan Negara Islam(Islamic State). Hakikatnya berbeza. En Nahdah bukanlah parti Islam dan tidak berniat merampas kuasa(coup d'eta) untuk mendirikan Negara Islam. Ghannouchi juga menolak khlifah islamiyyah dengan mengutamakan corak kerajaan demokrasi berparlimen, dan mereka menerima sepenuh konsep keadilan sosial, demokrasi berparti dan pluralism agama. Tiada perkataan Negara Islam? Adakah mereka tidak memperjuangkan Islam?

Salah faham

Darwin itu sesat. Logikkah kita asal dari beruk. Keparat Darwin itu mencela manusia. Agak2 begitulah jawapan yang dijawab ustaz-ustaz kalau ada yang bertanya, tanpa mampu membezakan antara Charles Darwin, Darwinism, Neo-Darwinism, Social-Darwinism dan Teori Evolusi. Samalah,bila orang bercakap tentang sekular dan demokrasi sebagai contoh, maka cepat-cepatlah ustaz-ustaz kampung atau mahasiswa-mahasiswa muda menghukum. Katanya telah mencabar hukum tuhan. Tiada demokrasi dalam Islam. . Begitu parah penyakit skeptisme orang kita. Sememang bila sekularism atau liberalism dipandang dari dimensi yang satu, maka tanggapan tunggal yang negatif sahaja yang diperolehi. Sebagai contoh, sekular Kemalisme yang didoktrinkan oleh Mustafa Kamal Attaturk itu bermaksud kerajaan mempunyai hak mutlak mengawal aktiviti beragama rakyat. kerana itu, kita melihat undang-undang pengharaman tudung,azan ke bahasa turki, mengharamkan solat berjemaah dan menghapuskan pewarisan atau faraid (inheritage) dalam Islam. Kesan Sekular Kemalism ini dicerita panjang oleh Dr. Abdullah Azzam dalam bukunya, Turki Negara Dua Wajah. Tetapi bila kita melihat sekular Perancis atau Amerika pula yang memperkenalkan konsep laicisme, beranggapan definisi sekular itu ialah ketiadaan gangguan keagamaan dalam hal ehwal kerajaan dan ketiadaan campur tangan pemerintah dalam hal ehwal keagamaan. Maka, sekular mana yang dikutuk dan yang mana yang patut disokong.

Fudamentalism

Realiti kini menuntut kita menjadi flexible. Perlu mengetahui pertembungan dan keserasian antara ideology seperti socialism, liberal,demokrasi dengan Islam. J. L Esposito dan James T. Piscatori menulis sebuah artikel, Islam and Democratization  yang padat membuah idea dan mencari titik persamaan Bukan semuanya dimusuhi. Banyak juga yang menetapi ciri-ciri kehendak Islam. Jadilah golongan fundamentalist yang modernist. Cara dan idea diperbagai, tetapi prinsip yang fundamental tidak tergadai. Abad -21 mentakdirkan pertembungan yang banyak dengan isme-isme baru ini. Jadilah kritis bukan prejudist.  Konsep sebuah kerajaan Islam bukan terletak pada perkataan Islam mahupun perlembagaan yang berteraskan al quran semata mata. Namun dilihat dari aspeks aplikasi. Apa guna sebuah negara seperti Mesir yang meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan tertinggi negara jika hak-hak sosial dinafi. Dan apa kurangnya negara yang tidak mensyaratkan begitu seperti United Kingdom tetapi hak bersuara dan mengkririk dibentang seluas luasnya. Akhirnya, saya berpendapat sama dengan ramai orang bahawa angin perubahan corak kenegaran di banyak tempat sedikit sebanyak telah bergerak ke arah demokrasi. Hal ini jelas diperkuat oleh Francis Fukuyama dalam buku beliaunya,The End of History and The Last Man . Fukuyama menyatakan bahawa ‘akhir sejarah’ akan menyaksikan semua umat manusia kecuali dunia Islam akan menerapkan sistem demokrasi-liberal sebagai bentuk pemerintahan yang paling rasional.Antara hujah daripada beliau ialah pada 1790, hanya tiga negara (AS, Swiss dan Perancis) yang memilih demokrasi liberal, 1848 (lima buah negara), 1900 (13), 1919 (25), 1940 (13), 1960 (36), 1975 (30) dan pada 1990, 61 negara memilih demokrasi-liberal dalam sistem pemerintahan masing-masing.

Teruslah kita mengayuh sampan ke muara berlumut dan memandang orang lain mengemudi kapal ke dataran emas. Lambailah ke arah mereka, teruslah kita di sungai cetek yang sama.

-15 Julai 2012-