Wednesday, 14 November 2012

Kurang Ajarlah Bangsaku!!



Sukan Olimpik London 2012 pastinya meninggalkan kesan yang mendalam bagi peminat sukan negara. Pastinya, Arena Wembly mengukir sejarah emas bagi seluruh rakyat Malaysia biarpun berkesudahan kalah.

“ Minta Maaf Malaysian, aku kalah…”

Itu bukanlah kata-kata daripada seorang penceramah agama, atau motivator terkemuka, tapi hanyalah dari mulut etlit berbangsa Cina. Siapa sangka, bicara itu mampu menjatuhkan air mata para pendengar. Datuk Lee Chong Wei. Satu nama yang menghiasi persada tertinggi sukan Badminton dunia. Beliau tewas di tangan pesaing tradisi, Lin Dan. Biarpun kalah, namun keikhlasannya memartabatkan nama tanah air itu, saya kira lebih ikhlas dan jelas berbanding sebahagian yang mendakwa merekalah penjulang bangsa dan negara.

Akhirnya, peristiwa tersebut memberi gambaran bahawa perjuangan negara tidak diwakili bangsa tertentu.

Bangsaku

Dahulunya, dasar pecah dan perintah memisahkan fizikal dan hati bangsa-bangsa tanah Melayu untuk bersatu dan membentuk wihdatul fikr( kesatuan idea). Selepas merdeka, cubaan bersatu untuk peringkat awal sukar. Malahan tercetus sejarah hitam tanah air gara-gara perbezaan bangsa. Namun kematangan perlahan lahan menyusup masuk di minda pimpinan negara, dan hari ini, kemakmuran berbilang bangsa dan agama tercapai.

Namun, kebersamaan ini tidak menghilangkan beberapa nilai yang dirasakan mewakili bangsa. Sebagai contoh, bangsa Melayu mempunyai nilai-nilai tertentu seperti sopan santun dan berterima kasih. Manakala bangsa Cina pula disifatkan sebagai bangsa yang ‘materialistik’ dan agressif. Rupa-rupanya, pertembungan dan perkekalan nilai yang mengikut kaum dalam jangka masa yang lama ini,  mencorak masyarakat yang berbeza . Di bandar yang didominasikan bangsa Cina satu masa dahulu, melahirkan  masyarakat yang progressif, lebih dinamik dan berlumba-lumba mengejar kehidupan yang selesa. Semuanya berpunca daripada sosio-budaya dan nilai terapan dalam bangsa mereka. Sebaliknya, di kampung, melayu yang terdidik dengan ‘ sabar’ dan ‘ berterima kasih’ tidak seagrresif bangsa Cina. Kita(Melayu) lebih memilih untuk membudayakan mediocrity ( budaya cukup makan). Berpada pada yang ada( qonaah).

Kita tidak berani tampil kehadapan bersaing masyarakat Cina dan masyarakat lain. Kita selesa duduk di zon ini. Kerana itu, dilancarkan Dasar Ekonomi Baru(DEB) atau Dasar Pembangunan Negara(DPN) untuk membasmikan kemiskinan orang Melayu secara tersurat, tetapi secara tersiratnya adalah untuk membasmi nilai-nilai fundamental yang menjadi ‘aqidah’ orang melayu. Hadafnya, untuk membolehkan orang melayu mengurus dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi (meningkatkan daya saing dan keberanian orang Melayu).

Itu Kita Dulu

Kita dahulu. Kita jarang mempersoalkan pimpinan tatkala berlakunya ketirisan kerana kita dididik ‘sabar’ dan ‘syukur’. Kita tidak mampu meminta lebih daripada pimpinan kerana kita dididik ‘berterima kasih’. Biarpun beberapa isu yang menyentuh hak sebagai rakyat marhean, yang berhak untuk bersuara mempersoalkannya, kita masih tegar membela nilai-nilai kemelayuan ini agar tidak terus hilang. Itu kita yang dahulu. Apakah kita masih sama?

Hari ini, saya berpendapat kita sudah semakin berani bersuara. Betul, kita menjaga nilai-nilai baik tersebut, namun tidaklah sehingga kita dizalimi dan teraniaya. Saya tertarik dengan ucapan mantap Seniman Negara Usman Awang:

“Sebuah perkataan yang paling ditakuti, untuk bangsa kita yang pemalu, sekarang kata ini kuajarkan pada anakku, kau harus menjadi manusia kurang ajar, untuk tidak mewarisi malu ayahmu, lihat petani-petani yang kurang ajar, memiliki tanah dengan caranya, sebelumnya mereka tak punya apa, kerana ajaran malu dari bangsanya, suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar”

Era ini menuntut ‘kurang ajar’ (bahasa sopannya ialah berani dan aggressif). Golongan  ‘pak turut’ dan pemalu akan tewas dengan bahana politik dan budaya kotor hari ini. Mereka yang di atas sewenang wenangnya ber ‘kurang ajar’ mengkhianti amanah kita. Memunggah harta kita ke luar. Mengenakan itu dan ini. Mereka sudah lupa nilai bangsa kita, tetapi merekalah jua yang mengingatkan rakyat di bawah supaya terus mengamalkan nilai itu. Sungguh,tiada senjata yang setara, melainkan kita turut menyerang balas ke’kurang ajar’an mereka dengan peluru yang sama.




Lee Chong Wei, terima kasih telah membawa harapan kami. Bangsamu telah terkehadapan. Juga terima kasih kepada Pocket Roket Man, Azizul Hasni Awang. Bangsa kita juga perlu kurang ajar untuk ke hadapan.


No comments:

Post a Comment